Monday, 25 June 2012

PANDUAN MENGUNDI

 Pengenalan

Ciri utama bagi Negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen ialah mengadakan pilihanraya yang bebas. Dalam hal ini tujuan diadakan pilihanraya ialah agar rakyat menggunakan hak mereka untuk memilih Kerajaan yang mereka percaya boleh memerintah dengan baik dan memenuhi kehendak rajyat. Oleh itu, parti yang paling banyak mendapat kepercayaan rakyat adalah berhak menggunakan mandat itu selama lima tahun sehingga pilihanraya baru diadakan.

Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen

Demokrasi dan Perlembagaan adalah dua konsep yang sangat besar ertinya bagi kita di Malaysia. Pegangan kita kepada kedua-dua konsep inilah yang menentukan corak Kerajaan kita disamping segala kebebasan dan kemakmuran yang dinikmati sehingga hari ini.

Secara amnya Demokrasi bermakna rakyat mempunyai suara mutlak di dalam menentukan Kerajaan yang memerintah sesebuah Negara. Sejak Negara mencapai kemerdekaan, amalan Demokrasi Berparlimen telah ditentukan melalui sistem pilihanraya yang bebas. Biasanya pada tiap-tiap lima tahun kita sebagai rakyat Malaysia adalah berhak memilih wakil-wakil kita dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Dewan-Dewan Undangan Negeri pula akan melantik ahli-ahli Dewan Negara bagi mewakili kepentingan tertentu.

Mengundi Adalah Hak Anda

Syarat-syarat mendaftar :

1. Warganegara Malaysia
2. Berumur 21 tahun ke atas
3. Bermastautin di mana-mana bahagian pilihanraya (mengikut alamat dalam kad pengenalan)
4. Tidak hilang kelayakan sebagai pemilih sebagaimana diperuntukkan di dalam undang-undang

"Anda hanya mengundi sekali sahaja dalam satu-satu pilihanraya. Jangan mengundi lebih dari sekali kerana tindakan itu adalah satu kesalahan yang besar"

Panduan Mengundi Semasa Pilihanraya

1. Memeriksa nama anda dalam daftar pemilih sebelum ke tempat mengundi. semakan boleh dibuat melalui Daftar Pemilih di tempat mengundi atau di Pejabat-Pejabat Pilihanraya Negeri atau melalui laman web Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dua minggu sebelum hari mengundi. (http://www.spr.gov.my)

2. Datang awal ke tempat mengundi dan bawa salah satu dari dokumen-dokumen berikut :
- Kad Pengenalan atau
-Pasport Antarabangsa
-Resit Kad Pengenalan Sementara Bergambar (JPN 1/9)
-Resit laporan kehilangan Kad Pengenalan Bergambar (JPN 1/11)
-Lesen Memandu Bergambar
-Kad Kuasa yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerajaan

3. Mengundi adalah hak anda. Dalam pemerintahan Demokrasi, tiada sesuatu atau seseorang pun yang boleh menghalang anda dari membuang undi.

4. Apabila sampai ke pusat mengundi, semak nama anda dengan kerani penyemak daftar pemilih di barung SPR dan tunjukkan dokumen pengenalan diri seperti Kad Pengenalan dan sebagainya.

5. Apabila disahkan anda adalah pemilih berdaftar, anda akan diberi slip menyatakan nombor siri daftar pemilih dan saluran mengundi anda.

6. Terus ke saluran mengundi. Tunjukkan slip anda kepada kerani pengundian pertama yang akan meneriakkan nombor siri pemilih anda, nama dan kad pengenalan anda. Kerani kedua akan mengeluarkan kertas undi anda dan menyerahkannya kepada kerani ketiga yang akan menindik kertas undi tersebut. kerani ketiga juga akan melipat kertas undi dan menyerahkan kepada anda.

7. Setelah diberi kertas undi, maju ke petak undi dan tandakan dengan tanda "X" pada petak kosong yang disediakan atas kertas undi anda bersebelahan dengan nama dan simbol calon yang anda pilih.

8. Lipat kertas undi anda dan masukkan ke dalam peti undi.

9. Keluarlah melalui pintu yang disediakan.

Sumber dari : 'Buku Panduan Mengundi'
Diterbitkan oleh : Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan Malaysia.

No comments:

Post a Comment