Sunday 17 June 2012

Kelab Setia SMK Bongawan II




BONGAWAN: Tanggungjawab dan peranan guru pada ketika ini semakin mencabar apabila pendidikan tidak lagi sekadar berfungsi untuk memenuhi keperluan lokal tetapi memenuhi tuntutan global. Exco Penerangan Negeri Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata guru memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan seseorang pelajar dan pencapaian matlamat pendidikan negara. “Persaingan global yang sengit memerlukan pelajar untuk meningkatkan kualiti diri dan berdaya saing bagi menghadapi cabaran itu dan ia memerlukan sokongan serta dokongan daripada guru yang memberikan bimbingan,” katanya pada majlis pelancaran penubuhan kelab setia dan pelancaran tugu tanda nama Sekolah Menengah Kebangsaan Bongawan II di sini kelmarin.

Sapawi berkata penubuhan kelab setia adalah untuk mewujudkan saluran komunikasi antara kerajaan dengan golongan pelajar menengah. Katanya ia mendedahkan pelajar kepada sistem amalan demokrasi berpalimen yang diamalkan di negara ini. “Ia bertujuan melahirkan pelajar yang mempunyai semangat setia dan cinta kepada negara,” katanya lagi.

Menurutnya perpaduan dan semangat cintakan negara boleh dilaksanakan menerusi sistem pendidikan kebangsaan yang inklusif dan dinamik. Dalam hal ini, beliau memberitahu guru adalah sebagai kuasa pemersatu yang memberi didikan kepada golongan pelajar dari pelbagai kaum, menghargai sejarah pembinaan negara bangsa, memahami kepelbagaian dan menjunjung aspirasi selaras dengan konsep 1 Malaysia.


No comments:

Post a Comment