Monday, 25 June 2012

PANDUAN MENGUNDI

 Pengenalan

Ciri utama bagi Negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen ialah mengadakan pilihanraya yang bebas. Dalam hal ini tujuan diadakan pilihanraya ialah agar rakyat menggunakan hak mereka untuk memilih Kerajaan yang mereka percaya boleh memerintah dengan baik dan memenuhi kehendak rajyat. Oleh itu, parti yang paling banyak mendapat kepercayaan rakyat adalah berhak menggunakan mandat itu selama lima tahun sehingga pilihanraya baru diadakan.

Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen

Demokrasi dan Perlembagaan adalah dua konsep yang sangat besar ertinya bagi kita di Malaysia. Pegangan kita kepada kedua-dua konsep inilah yang menentukan corak Kerajaan kita disamping segala kebebasan dan kemakmuran yang dinikmati sehingga hari ini.

Secara amnya Demokrasi bermakna rakyat mempunyai suara mutlak di dalam menentukan Kerajaan yang memerintah sesebuah Negara. Sejak Negara mencapai kemerdekaan, amalan Demokrasi Berparlimen telah ditentukan melalui sistem pilihanraya yang bebas. Biasanya pada tiap-tiap lima tahun kita sebagai rakyat Malaysia adalah berhak memilih wakil-wakil kita dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Dewan-Dewan Undangan Negeri pula akan melantik ahli-ahli Dewan Negara bagi mewakili kepentingan tertentu.

Mengundi Adalah Hak Anda

Syarat-syarat mendaftar :

1. Warganegara Malaysia
2. Berumur 21 tahun ke atas
3. Bermastautin di mana-mana bahagian pilihanraya (mengikut alamat dalam kad pengenalan)
4. Tidak hilang kelayakan sebagai pemilih sebagaimana diperuntukkan di dalam undang-undang

"Anda hanya mengundi sekali sahaja dalam satu-satu pilihanraya. Jangan mengundi lebih dari sekali kerana tindakan itu adalah satu kesalahan yang besar"

Panduan Mengundi Semasa Pilihanraya

1. Memeriksa nama anda dalam daftar pemilih sebelum ke tempat mengundi. semakan boleh dibuat melalui Daftar Pemilih di tempat mengundi atau di Pejabat-Pejabat Pilihanraya Negeri atau melalui laman web Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dua minggu sebelum hari mengundi. (http://www.spr.gov.my)

2. Datang awal ke tempat mengundi dan bawa salah satu dari dokumen-dokumen berikut :
- Kad Pengenalan atau
-Pasport Antarabangsa
-Resit Kad Pengenalan Sementara Bergambar (JPN 1/9)
-Resit laporan kehilangan Kad Pengenalan Bergambar (JPN 1/11)
-Lesen Memandu Bergambar
-Kad Kuasa yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerajaan

3. Mengundi adalah hak anda. Dalam pemerintahan Demokrasi, tiada sesuatu atau seseorang pun yang boleh menghalang anda dari membuang undi.

4. Apabila sampai ke pusat mengundi, semak nama anda dengan kerani penyemak daftar pemilih di barung SPR dan tunjukkan dokumen pengenalan diri seperti Kad Pengenalan dan sebagainya.

5. Apabila disahkan anda adalah pemilih berdaftar, anda akan diberi slip menyatakan nombor siri daftar pemilih dan saluran mengundi anda.

6. Terus ke saluran mengundi. Tunjukkan slip anda kepada kerani pengundian pertama yang akan meneriakkan nombor siri pemilih anda, nama dan kad pengenalan anda. Kerani kedua akan mengeluarkan kertas undi anda dan menyerahkannya kepada kerani ketiga yang akan menindik kertas undi tersebut. kerani ketiga juga akan melipat kertas undi dan menyerahkan kepada anda.

7. Setelah diberi kertas undi, maju ke petak undi dan tandakan dengan tanda "X" pada petak kosong yang disediakan atas kertas undi anda bersebelahan dengan nama dan simbol calon yang anda pilih.

8. Lipat kertas undi anda dan masukkan ke dalam peti undi.

9. Keluarlah melalui pintu yang disediakan.

Sumber dari : 'Buku Panduan Mengundi'
Diterbitkan oleh : Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan Malaysia.

Monday, 18 June 2012

Petua Dapur : Air Kelapa Melembutkan Ayam Tua & Kelapa Parut Tahan Lama

sekadar hiasan
Ayam tua biasanya keras atau liat dan sukar untuk memasaknya menjadi lembut. Berikut petua yang boleh digunakan untuk melembutkan daging ayam tua.

Mula-mula, potong kecil-kecil ayam tersebut.  Kemudian rebus ketulan ayam tadi bersama air kelapa sehingga empuk.  Toskan airnya, setelah itu barulah boleh dimasak mengikut citarasa anda.  Selamat mencuba.

Kelapa Parut Tahan Lama
Kelapa parut yang tidak habis digunakan jika dibiarkan begitu sahaja akan menjadi kering dan berbau.  Untuk mengekalkan kesegarannya, rendam kelapa parut dengan air yang telah dicampur sedikit garam.  Simpan di dalam peti sejuk.  Kelapa berkenaan akan tetap segar hingga beberapa hari.

Petanda positif kuota haji Malaysia tidak terjejas

KOTA KINABALU: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata hasil pertemuannya dengan Menteri Luar Arab Saudi Putera Saud Al Faisal baru-baru ini memberi gambaran positif bahawa kuota haji Malaysia tidak terjejas ekoran perhimpunan BERSIH 3.0 di Masjid Nabawi, Madinah dan Masjidil Haram, Mekah pada 26 April lepas.

Beliau berkata pada pertemuan itu, beliau telah menerangkan tentang perkara sebenar berhubung kejadian perhimpunan itu yang bukan menjadi amalan budaya rakyat di negara ini. “Pertemuan itu menunjukkan perkhabaran positif dan saya percaya melalui hubungan baik Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dengan Raja Arab Saudi (Raja Abdullah) dan hubungan akrab saya dengan Menteri Luar Arab Saudi kuota (haji) tidak terjejas. “Mereka juga mahu jaminan perkara itu (perhimpunan) tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri makan malam bersama pesara kerajaan di kawasan Parlimen Kimanis di sini, malam kelmarin.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini dilaporkan sedang membuat pertimbangan sama ada untuk mengenakan sekatan atau menggantung jemaah haji dan umrah dari Malaysia berikutan insiden perhimpunan haram di kedua-dua masjid suci itu pada 26 April lepas. Anifah berharap kuota rakyat Malaysia untuk menunaikan haji pada tahun ini tidak akan terjejas ekoran insiden yang telah mengundang perhatian serius daripada kerajaan Arab Saudi itu. Katanya, jika kuota untuk tahun ini terjejas ia akan memberi kesan pada tahun akan datang sepertimana yang berlaku pada negara Iran yang digantung selama tiga tahun kerana mengadakan demonstrasi di negara itu. Namun, beliau percaya kerajaan Arab Saudi tidak akan berbuat sedemikian kerana mereka pernah memuji rakyat Malaysia merupakan jemaah yang terbaik.

Terdahulu ketika berucap, Anifah berkata rakyat di negara ini khususnya Sabah perlu menolak dakyah pihak tertentu terutama pembangkang, sebaliknya menyokong kepimpinan transformasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah berjaya memakmurkan negara ini. Dalam perkembangan lain, Anifah yang juga anggota Parlimen Kimanis mengajak rakyat di negeri ini terutama pengundi di kawasannya agar memberi sokongan penuh kepada mana-mana calon yang dipilih bertanding pada Pilihan Raya Umum akan datang. Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan peribadinya sejumlah RM100,000 bagi Dana Pendidikan untuk membantu anak-anak di kawasan Membakut dan Bongawan manakala RM100,000 bagi penubuhan koperasi belia. — Bernama