Puasa dari segi Bahasa bermaksud menahan diri. Manakala dari segi syara' pula bermaksud menahan diri daripada makan dan minum untuk suatu jangkamasa yang tertentu. Selain itu juga, puasa bermaksud menahan diri daripada segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa daripada terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari.
Seperti firman Allah S.W.T : "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa (Surah Al-Baqarah : 183)
PUASA DALAM AGAMA ISLAM
Selain daripada menahan diri daripada lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, umat islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, berkata buruk, bertengkar atau bergaduh, menjaga mata, hidung, telinga serta lain-lain supaya puasa yang diamalkan mendapat rahmat dan keberkatan sepanjang bulan ramadhan. Puasa juga merupakan medan latihan kesabaran, jujur dan bertolak ansur sesama manusia. Secara tidak langsung, puasa dapat menanam sikap yang baik dan berbudi bahasa. Sikap tersebut diharapkan berlanjutan kebulan-bulan yang lain dan tidak hanya tertakluk di dalam bulan ramadhan.
KERUGIAN MENINGGALKAN PUASA RAMADHAN
Sabda Nabi Muhammad S.A.W, maksudnya : "Sesiapa berbuka satu hari pada bulan ramadhan tanpa ada rukhshah (uzur syarak) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu sekalipun dia berpuasa seumur hidup". (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, An Nasa'i, Ibnu Manjah dan Ibnu Khuzaimah).
TARIKH MELIHAT ANAK BULAN RAMADHAN 2012
Negara Malaysia melalui Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia telah menetapkan tarikh melihat/mencerap anak bulan puasa/ramadhan 2012 akan dilakukan pada 19 Julai 2012 (Khamis). Pencerapan ini akan dilakukan serentak di Balai-Balai Cerap di Seluruh Negara pada sebelah petang. Kebiasaannya aktiviti pencerapan anak bulan ini akan dilakukan pada waktu senja tatkala berlabuhnya matahari. (nota:- Balai Carap Negeri Sabah terletak di Tanjung Dumpil, Putatan, Kota Kinabalu)