Thursday 19 July 2012

PROGRAM MENINGKATKAN EKONOMI RAKYAT LUAR BANDAR DI PARLIMEN KIMANIS

Bongawan : YB Datuk Seri Anifah Hj Aman, Menteri Luar Malaysia dalam rangka aktiviti turun padangnya telah mengatakan bahawa Kerajaan telahpun melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan ekonomi rakyat yang tinggal di luar bandar. Kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada sesiapa yang berminat dan benar-benar berusaha untuk memajukan perusahaan mereka. 
 
Rakyat Bongawan umumnya dan para petani dan nelayan amnya hendaklah merebut peluang yang banyak disediakan oleh Kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Beliau berkata demikian semasa Program Kempen Makanan Air Tawar anjuran Jabatan Perikanan Sabah di Dewan Serbaguna Pekan Bongawan. pada majlis tersebut, YB Datuk Seri Anifah Hj Aman juga turut menyampaikan bantuan berupa peralatan perikanan kepada golongan Nelayan.

*Sumber maklumat : Harian Metro*

Monday 16 July 2012

PETUA MEMBINA RUMAH TANGGA BAHAGIA

  1. Berbicara dengan lemah lembut, memanggil dengan panggilan kesayangan serta memandang dengan penuh kasih sayang antara suami isteri.
  2. Membersihkan diri, penampilan rapi dan bersih, berhias dan memakai wangi-wangian terhadap pasangannya.
  3. Jujur dan amanah, jangan memandang rendah pasangan, saling mengalah dan memaafkan dan paling penting perhatikan kelebihan pasangan malah sekiranya ada kekurangan segera tutupi ia daripada pengetahuan orang lain.
  4. Jangan mencela masakan isteri, berusaha meringankan beban kerja pasangan, tidak membandingkannya dengan orang lain serta menjauhi hal-hal yang menimbulkan kecemburuan pasangan.
  5. Selalu berpegangan tangan, bergurau senda, saling membelai kerana dengan cara ini pasangan akan merasai dirinya sentiasa diperlukan.
  6. Jadikan kamar tidur tempat yang peribadi, bersih, harum dan masa yang menyenangkan pasangan.
  7. Saling menasihati dan cuba meringankan beban yang ditanggung pasangan.
  8. Peruntukkan waktu khusus bersama pasangan seperti makan bersama, solat berjemaah pada waktu tertentu seperti maghrib dan isya', bersiar-siar bersama dengan anak ditaman.
  9. Saling mendoakan dan merindui apabila berjauhan.
 ****SELAMAT MENCUBA DAN SELAMAT BERAMAL****







Sunday 15 July 2012

SOLAT SUNAT TARAWIKH

Tarawikh

Dari segi bahasa bermaksud 'duduk untuk beristirahat' setelah mengerjakan solat empat rakaat. Dari segi syara' pula bermaksud solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas mengerjakan solat fardhu isya'. Biasanya jemaah akan duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat tarawikh dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat rakaat sehingga cukup lapan atau dua puluh rakaat. tarawikh juga dikenali sebagai 'qiyamu ramadhan'. Solat tarawikh biasanya dikerjakan selepas solat isya' dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam.

Hukum

Hukum mengerjakan solat tarawikh adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang islam lelaki dan perempuan pada setiap malam bulan ramadhan samada secara berseorangan ataupun berjemaah. Solat tarawikh lebih afdal dikerjakan secara berjemaah di masjid sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Bilangan Rakaat Solat Tarawikh

Pada zaman rasulullah s.a.w, solat tarawikh dikerjakan sebanyak lapan rakaat supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan. Bagaimanapun pada zaman khalifah umar bin al-khattab pula telah ditambah lagi dan menjadikannya dua puluh rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang islam pada zamannya tidak keberatan menunaikan solat sebanyak itu. Solat tarawikh ini juga ditambah ataupun akan diakhiri dengan solat witir sebanyak tiga rakaat. Selain itu, rasulullah s.a.w juga tidak memberatkan solat ini ditunaikan di masjid sahaja kerana tidak mahu para sahabat akan berfikiran solat ini adalah solat yang wajib.

Kelebihan Solat Tarawikh

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya : saya telah mendengar rasulullah s.a.w bersabda mengenai ramadhan : "sesiapa yang mendirikan (solat tarawikh) dalam bulan ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah s.w.t, maka akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu".












Wednesday 11 July 2012

BULAN RAMADHAN AL MUBARAQ

Puasa dari segi Bahasa bermaksud menahan diri. Manakala dari segi syara' pula bermaksud menahan diri daripada makan dan minum untuk suatu jangkamasa yang tertentu. Selain itu juga, puasa bermaksud menahan diri daripada segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa daripada terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari.

Seperti firman Allah S.W.T : "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa (Surah Al-Baqarah : 183)




PUASA DALAM AGAMA ISLAM

Selain daripada menahan diri daripada lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, umat islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, berkata buruk, bertengkar atau bergaduh, menjaga mata, hidung, telinga serta lain-lain supaya puasa yang diamalkan mendapat rahmat dan keberkatan sepanjang bulan ramadhan. Puasa juga merupakan medan latihan kesabaran, jujur dan bertolak ansur sesama manusia. Secara tidak langsung, puasa dapat menanam sikap yang baik dan berbudi bahasa. Sikap tersebut diharapkan berlanjutan kebulan-bulan yang lain dan tidak hanya tertakluk di dalam bulan ramadhan.

KERUGIAN MENINGGALKAN PUASA RAMADHAN

Sabda Nabi Muhammad S.A.W, maksudnya : "Sesiapa berbuka satu hari pada bulan ramadhan tanpa ada rukhshah (uzur syarak) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu sekalipun dia berpuasa seumur hidup". (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, An Nasa'i, Ibnu Manjah dan Ibnu Khuzaimah).

TARIKH MELIHAT ANAK BULAN RAMADHAN 2012

Negara Malaysia melalui Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia telah menetapkan tarikh melihat/mencerap anak bulan puasa/ramadhan 2012 akan dilakukan pada 19 Julai 2012 (Khamis). Pencerapan ini akan dilakukan serentak di Balai-Balai Cerap di Seluruh Negara pada sebelah petang. Kebiasaannya aktiviti pencerapan anak bulan ini akan dilakukan pada waktu senja tatkala berlabuhnya matahari. (nota:- Balai Carap Negeri Sabah terletak di Tanjung Dumpil, Putatan, Kota Kinabalu)